Penat
berjalan melalui rutin dan hidup hari demi hari ditambah dengan bermacam dugaan
dan cabaran dalam melalui ranjau kehidupan. Terasa sakit dan pening kepala
memikirkan semua perkara yang perlu dilangsaikan. Itu hanya sakit lahiriah,
bukan pada batinnya pula! Memikirkan diri sendiri dan ummah lebih
membimbangkan. Apakah kesudahan...
Begitulah hidup kita dalam dunia ini. Allah sering sapa diri kita
dengan ujian. Tidak dinamakan seseorang itu hamba Allah jika tidak menerima
ujian yang Allah berikan. Dan tidak dapat dikatakan seseorang itu beriman jika
tiada sifat sabar. Dan tiadalah dikatakan seseorang itu SABAR jika tiada dugaan
yang akan menguji kesabarannya.
Kadang-kadang, kita cepat sangat untuk mengeluh dan merasa lelah atas
semua apa yang telah menimpa dan apa yang telah kita lakukan. Lambat laun,
keluhan yang keluar dari bibir dan penat yang dituturkan akan membuahkan sifat
malas dan rasa putus asa dalam diri seseorang.
Dalam menempuh hidup disertai dengan ujian daripada Allah, perlu kita
ingat, ujian dan dugaan itu adalah tarbiah Allah. Cuba ingat kembali apakah
hikmah selepas ujian Allah itu, adakah kita merasa lebih tenang dalam
kesenangan? Atau merasa lebih susah dalam kesusahan? Kita semua boleh berfikir
dan renung sejenak, disetiap ujian yang Allah turunkan, ada kebaikan akhirnya.
Cuma, mahu tidak mahu sahaja untuk kita berfikir.
Ujian yang Allah berikan itu datang daripada pelbagai arah. Sama ada
kita dipermainkan, dihina, dimaki dan dikhianati oleh hamba Allah yang kita
kasihi, cintai, sayangi dan yang kita kenali, juga suatu penyakit yang Allah
turunkan. Itu semua adalah kasih sayang Allah.
Allah sebenarnya ingin mengajar kita untuk lebih tabah dan tetap teguh
dengan pendirian kita yang kita pegang. Allah ingin memberitahu kita banyak
sangat perkara yang boleh membuat kita mendapat tiket untuk ke syurgaNya.
Apabila ujian datang menimpa, kadangkala, kita terasa ujian yang Allah
berikan itu datangnya seperti hujan, tidak henti-henti sudahnya. Dan juga,
kadangkala terasa seperti diri kita sahaja yang Allah berikan ujian seperti
itu.
Kita sering terlupa, bahawa setiap manusia telah dan akan Allah uji
dengan cara yang lain. Kita terlupa, bahawa ada hamba Allah yang lain yang
lebih teruk dan hebat ujian diri mereka. Begitulah sifat kita sebagai
manusia.
Seringkali, apabila kita teruji dan mungkin menangis dan mengadu kepada
keluarga atau sahabat, ungkapan SABAR seringkali kedengaran dan menunjukkan
bahawa kekuatan sabar itu adalah KUAT. Ada orang yang sudah lali dengan
perkataan sabar yang diungkapkan oleh orang lain.. Ada orang akan mendapat
semangat daripada perkataan sabar yang disebut oleh orang lain.
Dan bagi diri aku sendiri, apabila aku memujuk diri untuk bersabar,
seakan-akan ada suatu semangat yang sukar untuk digambarkan. Begitu juga
apabila sahabat-sahabat yang lain memberikan sedikit semangat untuk aku.
Perlu kita renung sejenak dan tanam dalam hati. Sifat SABAR itu adalah
salah satu sifat yang paling tertinggi di sisi Allah. Bukan semua orang boleh
bersabar dengan dugaan yang dihadapi, boleh bertenang sambil tersenyum dalam
menjalani kehidupan hari demi hari. Tiada sifat seorang muslim yang paling
tinggi di sisi Allah melainkan sifat sabar. Sabar adalah kekuatan. Ia tidak
mengira keturunan atau darjat yang ada pada diri seseorang itu.
Pesanan buat diriku sendiri dan yang lain. Seringkali lah memujuk diri
agar bersabar dan yakin dengan janji Allah.
Allah tetap akan memandang hamba-hamba yang sabar itu lebih dari
segalanya. Allah akan tetap memandang dengan pandangan yang penuh kasih sayang
melalui pandangan rahmatNya. Malah, para malaikat juga akan turut mendoakan
hamba yang sabar, InsyaAllah.
Percaya dan yakinlah dengan Allah. Sesungguhnya Allah tidak akan
menimpakan sesuatu cubaan kepada kita melainkan kita mampu untuk menanggungnya.
Allah tidak zalim untuk menyeksa kita dengan ujian yang Allah memang tahu kita
tidak mampu untuk memikul ujian itu. Cuba renungkan kembali, atas dasar apa
kita dilahirkan ke dunia dan apa niat kita di atas muka bumi ini.
Apabila
sebarang musibah datang melanda, cepat-cepat bersuci dan menghadap Tuhan
Pencipta Alam. Mengadulah, menangislah. Memang sifat kita lemah apabila berada
di hadapanNya. Pujuk jugalah hati untuk melunturkan ego agar diri lembut untuk
menitiskan airmata dihadapanNya. Ingatlah wahai diriku dan yang lain, secubit
ujian yang Allah berikan, bergumpal-gumpal pahala sebagai ganjaran Allah kepada
hambaNya. Syaratnya adalah dengan BERSABAR. :)










